Merawat kulit kepala
Rambutan adalah buah yang enak dimakan. Selain buah, daunnya mempunyai khasiat untuk membantu merawat masalah kulit kepala gatal. Untuk mencuba petua ini, anda perlu masukkan beberapa helai daun tersebut dalam bekas berisi tiga gelas air.
Hancurkan daun itu dan perah dua biji limau nipis kemudian kacau hingga sebati. Seterusnya, tapis air tersebut dan sapukan di keseluruhan kepala bagi memastikan ia menyerap pada kulit. Amalkan petua ini dalam tempoh dua minggu sekali.
Mengurangkan sakit kepala
Daun lemuni adalah tumbuhan yang biasa digunakan dalam masakan di negara ini. Selain itu ia boleh dijadikan sebagai bahan utama bagi membantu mengurangkan masalah sakit kepala.
Untuk mencuba petua ini, anda hanya perlu mengambil daun lemuni (bahagian batang lembut sahaja) kira-kira satu kilogram dan masukkan ke dalam sarung bantal. Amalkan petua ini dalam tempoh dua hingga tiga hari
dengan cara tidur menggunakan bantal tersebut.
Menghilangkan jerawat
Jerawat adalah masalah lazim yang berlaku pada kulit muka manusia. Untuk membantu menghilangkan masalah ini, anda perlu ambil kulit pokok bunga tanjung, giling halus dan jadikan ia bedak.
Campurkan sedikit dengan bedak sejuk dan beberapa titis air terlebih dahulu dan sapu pada muka terutama bahagian yang mengalami jerawat. Lakukan petua ini pada sebelah malam sebelum waktu tidur dan jadikan ia sebagai amalan harian.
Mengurangkan demam panas
Demam panas merupakan penyakit yang akan melanda individu sekiranya tidak menjaga kesihatan dengan baik. Untuk membantu mengubati perkara ini, anda perlu mengambil beberapa helai daun tanduk rusa dan tumbuk bersama sedikit garam.
Seterusnya, bahan tersebut ditambah dengan segelas air, ditapis dan diminum pada waktu pagi dan petang untuk merawat masalah demam. Ulangi langkah ini sehingga demam anda sembuh atau pulih.
Menghilangkan panau
Panau adalah masalah kulit yang amat mengganggu kehidupan individu sekiranya tidak menjaga kesihatan dengan baik. Untuk membantu menghilangkkannya, anda ambil sebiji lengkuas genting dan ketuk ia sehingga pecah dan campur dengan minyak tanah.
Kemudian, sapukan pada tempat yang terkena panau. Biarkan seketika sehingga kering dan baru mandi. Untuk mendapatkan kesan maksimum, anda perlu melakukan petua ini beberapa kali dalam seminggu.
Merawat gigitan haiwan berbisa
Pokok selada adalah salah satu tumbuhan herba yang unik kerana ia mengeluarkan bunga di batang utama. Selain unik ia juga mempunyai pelbagai khasiat, iaitu boleh dijadikan penawar gigitan haiwan berbisa seperti ular, lipan dan serangga.
Untuk mencuba petua ini, anda perlu mengambil daun pokok selada dan tumbuk bersama kunyit lalu ditampal pada tempat yang terkena bisa. Ulang langkah ini sehingga bisa beransur hilang atau pulih.
Mengatasi masalah sakit perut
Daun garuda adalah tumbuhan herba aroma kuat dan berasal dari Eropah. Ia mempunyai pelbagai khasiat serta boleh digunakan untuk mengubati pelbagai penyakit termasuk sakit perut.
Untuk mengatasi masalah ini, anda perlu ambil sedikit daun garuda dan campurkan dengan sedikit minyak kelapa. Kemudian, kacau rata dan sapu terus pada perut yang sakit.
Mengurangi demam panas
Akalifa merupakan tumbuhan berasal dari Kepulauan Pasifik Selatan. Pokok renek yang selalu digunakan sebagai tumbuhan hiasan ini juga berkhasiat membantu mengatasi masalah demam panas.
Untuk mencuba petua ini, anda hanya perlu ambil beberapa helai daun tersebut, panaskan dan tampal pada bahagian belakang serta depan badan untuk meransang peluh serta menurunkan suhu demam panas.
No comments:
Post a Comment