Thursday, 22 November 2012

BLOGGER

PROFIL

Blogger : Indah Bahasa




Sabani bt Yahaya

D20112056188



KOHORT 3 UPSI

SEMESTER 1 2014/2015


Sekolah Kebangsaan Taman Selayang (2)
Jalan Sg.Tua, 68100 Batu Caves,
Selangor Darul Ehsan



'Tiada Kata Secantik Bahasa'



PANTUN

Pantun Moden


Dengarlah wahai muda dan mudi,
Suatu pesanan yang saya beri,
Bicara tentang akhlak dan budi,
Umpama pakaian sehari-hari.

Akhlak umpama suatu pakaian,
Kepada manusia lelaki dan perempuan,
Jika tiada akhlak yang sopan,
Hidup umpama tiada pedoman.

Budi baik tidaklah kurang,
Tinggi duduknya pada seseorang,
Budi bahasa bagaikan hiasan,
Di mana-mana sentiasa di kenang.

Harum wangi bunga kemboja,
Putih berseri bunga cina,
Carilah ilmu di mana sahaja,
Walaupun sampai ke negara China.

Anak sungai di kaki gunung,
Tempat bermain ikan puyu,
Janganlah asyik duduk termenung,
Bacalah buku menambah ilmu.

Waktu petang cuaca redup,
Duduk berehat di tepi taman,
Ilmu itu pelita hidup,
Terang hati dan akal fikiran.

Bunga mawar pokoknya berduri,
Kerana duri harumnya setaman,
Jika ilmu tidak dicari,
Gelap hidup tiada pedoman.

Pokok jati tempat berteduh,
Jangan ditebang dibuat papan,
Carilah ilmu bersungguh-sungguh,
Buat bekalan masa hadapan.

Pokok tualang sangatlah tinggi,
Tempat lebah membuat sarang,
Jika ada ilmu di hati,
Kita tidak ditipu orang.

Burung kelicap menghisap madu,
Dikongsi pula bersama kumbang,
Marilah kita berkongsi ilmu,
Makin bertambah tidak berkurang.

EVIDEN

Lembaran Kerja 1


Tema  :  Kekeluargaan

Tajuk  :  Keluarga Saya


Lampiran 1

Seni kata lagu :


Saya Sayang Keluarga



                        Satu satu
                        Saya sayang ibu


                        Dua dua
                        Saya sayang bapa


                        Tiga tiga
                        Sayang adik kakak


                        Satu dua tiga
                        Sayang abang juga



Lampiran 2

Sebut perkataan tersebut.


sa     ya                         i     bu


ba     pa                        a     bang


ka     kak                       a     dik



Lampiran 3

saya                               bapa

adik                                abang

kakak                             ibu



Lampiran 4

Lengkapkan suku kata.

1.   ka   +   kak   = __________

2.       +   bang = __________

3.   ba   +   pa     = __________

4.   i      +   bu     = __________

5.   a     +   dik    = __________



Lampiran 5

Tandakan (/) pada perkataan yang betul.


ibu   (    )                         kakak   (    )
idu   (    )                         kakek   (    )


alik  (    )                         bapa     (    )
adik (    )                         paba     (    )



********************


Lembaran Kerja 2         


Tema  :  Kebersihan

Tajuk  :  Menjaga Diri


Lampiran 1

Tuliskan perkataan yang menunjukkan anggota badan dan bukan anggota badan.

selipar       leher       sikat       kasut

berus         mandi     mulut     kotor

perut         tangan    siku        hidung

    Anggota Badan          Bukan Anggota Badan

1.______________         1.______________
2.______________         2.______________
3.______________         3.______________
4.______________         4.______________
5.______________         5.______________
6.______________         6.______________



Lampiran 2

Dengar bacaan rakan kamu.

    Akim budak yang sihat. Dia selalu jaga diri supaya bersih. Hari-hari dia mandi tiga kali sehari. Dia mandi guna sabun supaya badannya tidak ada kuman. Akim gosok badan agar hilang daki.
    Selepas mandi, Akim lap badan supaya kering. Dia sapu bedak pada badannya supaya rasa segar. Dia juga pakai baju yang bersih. Akim selalu nampak kemas.



Lampiran 3

Tuliskan makna bagi perkataan yang diberi.

           uzur            rapi           bakteria

                 nyaman              serbuk harum


1.  sakit     - ____________
2.  kuman  - ____________
3.  bedak   - ____________
4.  segar    - ____________
5.  kemas   - ____________



Lampiran 4

Melengkapkan suku kata supaya menjadi perkataan.

       bun       sok       kat       sut       suh


1.   go   +   _____  =  __________
2.   ba   +   _____  =  __________
3.   sa   +   _____  =  __________
4.   si    +   _____  =  __________
5.   ka   +   _____  =  __________



Lampiran 5

Cari pasangan perkataan untuk membentuk frasa.

gosok       kasut      sabun       badan

basuh       sikat       tangan     rambut

cuci          gigi          kuku         potong


Jawapan:

1._____________
2._____________
3._____________
4._____________
5._____________
6._____________















ALBUM

Tekun belajar,bantu-membantu amalan mulia.


Bakat dan kreativiti Seni Visual.


Kursus KSSR Daerah Gombak


Asyiknya rakan-rakanku......begitu komited.


Seronoknya ...........dapat pergi rombongan.



Kumpulan Ultraman...........


Ganjil...............tiada daun.


Guru-guru ceria..............



Tangkuban Perahu, Bandung. 


    Kawah bekas gunung berapi.









Tuesday, 20 November 2012

LAMAN PETUA

Merawat kulit kepala

   Rambutan adalah buah yang enak dimakan. Selain buah, daunnya mempunyai khasiat untuk membantu merawat masalah kulit kepala gatal. Untuk mencuba petua ini, anda perlu masukkan beberapa helai daun tersebut dalam bekas berisi tiga gelas air.
   Hancurkan daun itu dan perah dua biji limau nipis kemudian kacau hingga sebati. Seterusnya, tapis air tersebut dan sapukan di keseluruhan kepala bagi memastikan ia menyerap pada kulit. Amalkan petua ini dalam tempoh dua minggu sekali.


Mengurangkan sakit kepala

   Daun lemuni adalah tumbuhan yang biasa digunakan dalam masakan di negara ini. Selain itu ia boleh dijadikan sebagai bahan utama bagi membantu mengurangkan masalah sakit kepala.
   Untuk mencuba petua ini, anda hanya perlu mengambil daun lemuni (bahagian batang lembut sahaja) kira-kira satu kilogram dan masukkan  ke dalam sarung bantal. Amalkan petua ini dalam tempoh dua hingga tiga hari
dengan cara tidur menggunakan bantal tersebut.


Menghilangkan jerawat

   Jerawat adalah masalah lazim yang berlaku pada kulit muka manusia. Untuk membantu menghilangkan masalah ini, anda perlu ambil kulit pokok bunga tanjung, giling halus dan jadikan ia bedak.
   Campurkan sedikit dengan bedak sejuk dan beberapa titis air terlebih dahulu dan sapu pada muka terutama bahagian yang mengalami jerawat. Lakukan petua ini pada sebelah malam sebelum waktu tidur dan jadikan ia sebagai amalan harian.


Mengurangkan demam panas

   Demam panas merupakan penyakit yang akan melanda individu sekiranya tidak menjaga kesihatan dengan baik. Untuk membantu mengubati perkara ini, anda perlu mengambil beberapa helai daun tanduk rusa dan tumbuk bersama sedikit garam. 
   Seterusnya, bahan tersebut ditambah dengan segelas air, ditapis dan diminum pada waktu pagi dan petang untuk merawat masalah demam. Ulangi langkah ini sehingga demam anda sembuh atau pulih.


Menghilangkan panau

   Panau adalah masalah kulit yang amat mengganggu kehidupan individu sekiranya tidak menjaga kesihatan dengan baik. Untuk membantu menghilangkkannya, anda ambil sebiji lengkuas genting dan ketuk ia sehingga pecah dan campur dengan minyak tanah.
   Kemudian, sapukan pada tempat yang terkena panau. Biarkan seketika sehingga kering dan baru mandi. Untuk mendapatkan kesan maksimum, anda perlu melakukan petua ini beberapa kali dalam seminggu.


Merawat gigitan haiwan berbisa

   Pokok selada adalah salah satu tumbuhan herba yang unik kerana ia mengeluarkan bunga di batang utama. Selain unik ia juga mempunyai pelbagai khasiat, iaitu boleh dijadikan penawar gigitan haiwan berbisa seperti ular, lipan dan serangga.
   Untuk mencuba petua ini, anda perlu mengambil daun pokok selada dan tumbuk bersama kunyit lalu ditampal pada tempat yang terkena bisa. Ulang langkah ini sehingga bisa beransur hilang atau pulih.


Mengatasi masalah sakit perut

   Daun garuda adalah tumbuhan herba aroma kuat dan berasal dari Eropah. Ia mempunyai pelbagai khasiat serta boleh digunakan untuk mengubati pelbagai penyakit termasuk sakit perut.
   Untuk mengatasi masalah ini, anda perlu ambil sedikit daun garuda dan campurkan dengan sedikit minyak kelapa. Kemudian, kacau rata dan sapu terus pada perut yang sakit.


Mengurangi demam panas

   Akalifa merupakan tumbuhan berasal dari Kepulauan Pasifik Selatan. Pokok renek yang selalu digunakan sebagai tumbuhan hiasan ini juga berkhasiat membantu mengatasi masalah demam panas.
   Untuk mencuba petua ini, anda hanya perlu ambil beberapa helai daun tersebut, panaskan dan tampal pada bahagian belakang serta depan badan untuk meransang peluh serta menurunkan suhu demam panas.











Monday, 19 November 2012

TATABAHASA

Kata Adjektif

Kata Adjektif ialah kata sifat yang menjadi unsur inti dalam binaan frasa adjektif. Kata adjektif boleh disertai kata penguat atau / dan kata bantu. Fungsi kata adjektif untuk menerangkan keadaan, rupa, atau sifat kata nama atau frasa nama.

Jenis-jenis Kata Adjektif

1. Kata Adjektif Sifatan
- Sifat Nama : muka masam, baju ketat, kain jarang.
- Sifat Kerja : menjeling manja, tersusun rapi.

2. Kata Adjektif Warna
- putih, kuning, hijau, biru, kelabu, merah, jingga....
- hitam legam, kelabu asap, biru laut, rumput hijau....

3. Kata Adjektif Bentuk
- bulat, bujur, leper, tebal, nipis, buncit, pipih, lurus....
- meja bulat, perut buncit, muka bujur sirih,mata bundar.

4. Kata Adjektif Ukuran
- panjang, pendek, kecil, besar, tebal, nipis, tinggi....
- buku tebal, seluar pendek, baju nipis, rumah kecil...

5. Kata Adjektif Waktu
- lama, baru, segera,lambat, sebentar, silam, suntuk...
- pengantin baru, kisah lampau, sehari suntuk....

6. Kata Adjektif Jarak
- nyaris, hampir, dekat, jauh, rapat......
- nyaris terkorban, hampir roboh, dekat di hati......

7. Kata Adjektif Cara
- lambat, laju, deras, gopoh, sering, lincah, sengit....
- berlari laju, silat lincah, sering sakit, bekerja gopoh...

8. Kata Adjektif Perasaan
- hendak, mahu, ingin, gemar, kecewa,sedih, ragu....
- mimpi sedih, hati rindu, merintih sayu, amat ragu...

9. Kata Adjektif Pancaindera
- Rasa : masam, manis, masin, pedas, pahit, tawar....
- Pandang : lawa, cantik, comel, segak, tampan, ayu...
- Dengar : merdu, nyaring, bising, serak, lunak, garuk..
- Aroma : wangi, harum, busuk, tengik, hanyir, hapak...
- Sentuh : lembut, keras, kasar, halus, licin, kesat...
- Gabungan pancaindera : bersih (sentuh + aroma),
                                         selesa (sentuh + pandang)


********************

Kata Nama

Nik Safiah Karim et.al (2008), mendefinisikan kata nama sebagai kata yang menjadi inti frasa nama dalam ayat dan lazimnya kata ini menamakan orang, tempat atau benda. Golongan kata nama bahasa Melayu boleh dikelompokkan berdasarkan ciri-ciri makna perkataan kepada tiga kumpulan iaitu :
(i) kata nama am, (ii) kata nama khas, dan (iii) kata ganti nama.

Kata Nama Am

Menurut Tatabahasa Dewan edisi baharu (2008), kata nama am ialah perkataan yang merujuk benda, perkara atau konsep yang umum sifatnya.

Kata nama am                  Contoh
i.  Benda    -    alam, dunia, orang, pohon,cakerawala
ii. Perkara  -    udara, iklim, cahaya, roh, hisapan
iii.Konsep   -    perpindahan, kedamaian, keadilan

Jenis-jenis Kata Nama Am

Menurut Tatabahasa Dewan, kata nama am dapat dibahagikan kepada kumpulan-kumpulan kecil bedasarkan ciri makna perkataannya, iaitu hidup dan tak hidup, manusia dan bukan manusia, institusi dan bukan institusi, konkrit atau abstrak, berbilang atau tidak berbilang, seperti yang berikut ini :


Kata    (i) Hidup - manusia
Nama                - bukan manusia
Am      (ii)Tak hidup - institusi
                               - bukan institusi - konkrit
                                                        - abstrak
                                                          (berbilang)
                                                          (tak berbilang)

Kata nama am ditulis dengan huruf kecil kecuali pada awal atau pangkal ayat.
Contoh :

Adik membaca buku.
Kakak menjahit baju.
Rumah hartawan itu besar.
Maria menulis nota.


(i) Kata nama am hidup manusia.

- kata yang merujuk pada orang, iaitu bersifat hidup dan mendukung makna nama am.
Contoh :
pelajar              kanak-kanak
budak               ayah
guru                 petani
peguam            fakir


(ii) Kata nama am hidup bukan manusia.

- perkataan yang merujuk benda-benda hidup jenis bukan manusia (haiwan dan makhluk lain) dan mendukung makna nama am.
Contoh :
kucing              pari-pari
ayam                syaitan
pokok               jin
ikan                  bidadari


(iii) Kata nama am tak hidup institusi.

- perkataan yang merujuk badan atau institusi yang bersifat tidak hidup tetapi makna nama am.
Contoh :
sekolah              hospital
universiti            pertubuhan
persatuan          lembaga


(iv) Kata nama am tak hidup bukan institusi
      konkrit.

- merujuk benda-benda yang bukan institusi tetapi konkrit sifatnya. Kebanyakan kata nama dalam golongan ini merujuk tempat.
Contoh :
rumah                padang
bandar               negeri
jalan                  bumi
sungai               cakerawala


(v) Kata nama am tak hidup bukan institut
     abstrak berbilang.

- merujuk benda-benda atau perkara-perkara yang tidak hidup, bukan institusi dan abstrak sifatnya tetapi boleh dibilang, iaitu dapat disertai oleh kata bilangan.
Contoh :
setiap pendapat                 setiap rancangan
satu gangguan                   satu bayangan
satu senyuman


(vi) Kata nama am tak hidup bukan institusi
      abstrak tak berbilang.

- merujuk benda-benda atau perkara-perkara yang bukan jenis hidup, bukan institusi, abstrak sifatnya dan tidak dapat dibilang.
Contoh :
iklim                  angin
kecantikan        ketibaan
keseronokan     angkasa
keriangan          kesungguhan


Kata Nama Khas

Kamus Linguistik (1997), mendefinisikan kata nama khas sebagai kata yang merujuk kepda orang, benda atau tempat yang khusus atau khas.

Kata nama khas                  Contoh
i.  Benda    -    Iswara, Parker 45, Hikayat Hang Tuah
ii. Orang     -    Puan Faridah, Dr.Izwan, Inspektor Ali
ii. Haiwan   -    Sang kancil, Si Comel, Pak Belang
iv.Tempat   -    Petaling Jaya, Kampung Putat

Huruf pertama perkataan nama khas hendaklah ditulis dengan huruf besar bagi membezakannya dengan kata nama am.
Contoh :
Mastura                    Toshiba
Proton Saga              Perak
Si Tompok                 Sungai Pahang

Jenis Kata Nama Khas

Menurut Tatabahasa Dewan (2008), kata nama khas mendukung makna rujukan khusus pada sesuatu nama orang, haiwan, benda, perbadanan (institusi), undang-undang, bangsa, bahasa, pangkat dan seumpamanya. Dalam tulisan, huruf pertama kata nama khas ditulis dengan huruf besar. Kata nama khas boleh dibahagikan kepada dua kumpulan iaitu kata nama khas hidup dan kata nama khas tak hidup. Kata nama khas hidup pula boleh dibahagikan kepada kata nama khas hidup manusia dan kata nama khas hidup bukan manusia, seperti yang berikut ini :


Kata       (i) Tak hidup
Nama
Khas      (ii) Hidup   -   manusia
                               -   bukan manusia

(a) Kata nama khas hidup manusia.

- terdiri daripada perkataan yang merujuk nama manusia.
Contoh :
Myasara                  Sheikh Muzaffar
Nicol David              Raja Farah

- boleh didahului oleh nama panggilan atau gelaran.
Contoh :
Prof. Emeritus Datuk Dr.Nik Safiah Karim
Tan Sri Ahmad Sarji
Dr. Surin Pitsuwan

- kata gelaran si dan sang boleh juga digunakan bagi kata nama am yang sudah diberi pengertian khas.
Contoh :
si mati                 si berhutang
si adik                 si mangsa

(b) Kata nama khas hidup bukan manusia.

- terdiri daripada perkataan yang merujuk benda-benda yang hidup tetapi bukan jenis manusia seperti malaikat, haiwan, tumbuhan dan seumpamanya.
Contoh :
Jibrail                    Bougainvellea (bunga kertas)
Kancil                    Ananas Comosus (nanas)

- boleh menerima kata panggilan atau gelaran.
Contoh :
Sang Kancil
Sang Lamri

(c) Kata nama khas tak hidup.

- perkataan yang merujuk benda-benda yang khusus tetapi bukan hidup, misalnya nama benda, institusi, negara, tempat, bangsa, bahasa, pangkat, undang-undang dan seumpamanya.
Contoh :
Melayu                    Universiti Malaya
Honda                     Wisma Putra
Piala Suzuki            Kapal Diraja Hang Tuah


Kata Ganti Nama

Menurut Nik Safiah Karim et.al (2008), kata ganti nama boleh dibahagikan kepada dua golongan kecil, iaitu kata ganti nama tunjuk dan kata ganti nama diri. Kata ganti nama diri pula dibahagikan kepada kata ganti nama diri orang dan kata ganti nama diri tanya. Kata ganti nama diri orang pula terdiri daripada kata ganti nama diri orang pertama, kata ganti nama diri orang kedua dan kata ganti nama diri orang ketiga, seperti berikut ini :


Kata     (i)  Kata ganti nama tunjuk
Ganti
Nama   (ii) Kata ganti nama diri
                 - kata ganti nama diri tanya
                 - kata ganti nama diri orang - pertama
                                                            - kedua
                                                            - ketiga

(a) Kata ganti nama tunjuk.

-perkataan yang menjadi pengganti kata nama dan mendukung maksud menunjukkan benda atau perkara yang dirujuk itu.
- ada dua kata ganti nama tunjuk iaitu ini untuk menunjuk pada yang dekat dan itu untuk menunjuk pada yang jauh.

(b) Kata ganti nama diri.

- terbahagi kepada dua golongan iaitu :
  (i) Kata ganti nama diri tanya.
      - perkataan yang merujuk benda atau orang
      dalam bentuk tanya. Ada tiga kata ganti nama
      diri tanya, iaitu :
       
      Kata ganti nama diri tanya            Contoh
      i.   apa                                  benda atau perkara
      ii.  siapa                                orang
      iii. mana                                benda atau orang
      
      - kadang-kadang kata ganti nama diri tanya boleh
      mengalami proses penggandaan untuk membawa
      maksud rujukan tidak tentu atau penegasan.

      (ii) Kata ganti nama diri orang.

       - perkataan yang merujuk diri orang tertentu,
       iaitu diri orang pertama, diri orang kedua dan diri
       orang ketiga, seperti berikut ini :

       Kata ganti nama diri orang          Contoh
       i.   orang pertama               saya, aku, beta,
                                                 patik, kami, kita
       ii.  orang kedua                   anda, engkau,
                                                 awak, kamu
       iii. orang ketiga                   ia, dia, mereka, nya


Penggunaan Kata Ganti Nama

1. Kata ganti nama diri perlu disesuaikan dengan
    kedudukan seseorang. Kata ganti nama beliau
    digunakan untuk orang yang dihormati.
    Contoh :
    Banduan itu dikawal ketat oleh pihak penjara.
    Beliau terlibat dalam banyak kejadian jenayah.
    (salah)

    Banduan itu dikawal ketat oleh pihak penjara. Dia
    terlibat dalam banyak kejadian jenayah. (betul)

2. Kata ganti diri bentuk jamak tidak perlu
    digandakan.
    Contoh :
    "Kalian-kalian mesti bekerjasama dari sekarang,"
    kata Tuk Ali kepada anak-anak buahnya. (salah)

    "Kalian mesti bekerjasama dari sekarang," kata
    Tuk Ali kepada anak-anak buahnya. (betul)

3. Kata ganti nama diri tidak boleh digunakan untuk
    haiwan dan benda.
    Contoh :
    Tompok sangat manja. Ia suka menggesel-
    geselkan badannya pada kaki saya. (salah)
    
    Tompok sangat manja. Tompok suka menggesel-
    geselkan badannya pada kaki saya. (betul)